Jun 24

Tip : Kitar semula seluar jeans lama.

Rasanya kebanyakkan dari kita mesti ada seluar jeans lama atau terpakai di rumah. Samada milik anak-anak atau suami, adik lelaki atau adik perempuan atau diri kita sendiri. Banyak yang kita boleh buat dengan seluar jeans ini. Tentu anda pernah nampak beg atau apa-apa saja yang dibuat dari jeans.
Jadi hari ini saya hendak berkongsi sikit tentang kegunaan seluar jeans lama ni. Jangan dibuang. Kita kitar semula dia jadi beg-beg yang comel untuk anak-anak atau diri sendiri. Bagi yang baru berjinak-jinak dengan mesin jahit tu, buat saja beg yang ‘simple’ macam saya buat ni. Beg ini saya buat sepasang. Satu untuk kanak-kanak lelaki dan satu untuk kanak-kanak perempuan.
IMG_0010
 
Ini beg untuk kanak-kanak lelaki. Guna zip. Jadi tidaklah mudah tercicir barang-barang tu. Bahagian depan luar tu, saya jahitkan poket seluar yang besar. Sesuai dengan saiz tangan tu….
 
 
Alia 1
 
 Ini beg untuk kanak-kanak perempuan. Guna zip juga. Tapi yang ini saya tambahkan lace di bawah. Saya guna poket kecil saja untuk dia nampak comel.
Jun 20

Cerita 3: Cerita tentang beg kitar semula

Cerita tentang beg pada kali ini, adalah mengenai beg kitar semula.
blog photo
 Pada tahun 2010 bermulalah episod kena bawa beg sendiri bila pergi  membeli-belah pada hari setiap hari sabtu. Jadinya macam-macam rupa dan warna beg yang dapat dilihat. Pusat membeli-belah pun sibuk menjual beg dengan logo syarikat mereka sendiri. Tapi ada juga yang di beri percuma. Ada yang cantik…emmm ada yang boleh tahan. 
Rasa teruja. Saya pun siap bawa beg jahitan sendiri bila pergi membeli-belah. Tapi yang menjadi masalahnya, sifat pelupa saya. Rasanya bukan saya seorang saja kut? Ya lah…sebulan sekali kena bawa beg sendiri. Selalunya melenggang saja bila pergi beli barang. Ini kena bawa beg sendiri. Bila terlupa bawa beg sendiri, apa lagi….kena pegang lah barang-barang tu. Kalau nak masuk dalam beg plastik, kena bayar 20 sen. Tapi sebab sayangkan alam sekitar, saya sanggup bawa macam tu saja.  
Sampai hari ni pun kadang_kadang saya masih terlupa lagi. Sebenarnya saya cuba mengatasi masalah ‘terlupa’ ni dengan sentiasa bawa beg kitar semula yang boleh gulung jadi kecil dalam beg tangan. Tapi bila tukar beg tangan….lupa lagi. 
Kalau ada lain-lain cerita tentang beg, nanti kita cerita tentang beg lagi.
 
Jun 05

Cerita 2 : Beg plastik panjang.

Cerita-cerita tentang beg kali ini mengimbau kenangan lalu. Tahun 1980, saya dalam darjah 4 (dah tua dah). Bila sekolah bermula awal tahun, ada tiga perkara yang saya suka bila masuk darjah 4.  
Pertama – kelas saya akan belajar di bangunan baru. Bangunan batu dua tingkat. Walaupun kelas saya di tingkat bawah, saya tak kisah. Sebab dari darjah 1 hingga darjah 3, kelas saya di bangunan lama. Bangunan kayu. Tapi bila diingat balik, cantik bangunan tu. Sayangnya, tidak ada gambar kenangan. 
Kedua – Bila naik darjah 4, nota sejarah dan ilmu alam (sekarang geografi) akan ditulis dalam buku panjang bersaiz F4. Bila dapat tulis dalam buku panjang , dah rasa besar sangat. Kiranya dah masuk kategori ‘senior’ lah. 
Ketiga – Ini yang paling ‘best’. Bergaya dengan beg plastik panjang. Buku nota panjang tu tidak boleh muat dalam beg sandang. Kalau muat pun, ia mudah rosak. Jadi penyelamatnya beg plastik panjang tu lah. Lebih kurang macam gambar kat bawah ni.
images (1)Tapi  tidak lah kosong saja. Ada gambar atau tulisan. Dulu kalau pergi beli kasut sekolah atau kasut raya, mesti beli kat kedai kasut Bata. Bagi pekan kecil macam daerah saya dulu, itu sajalah kedai kasut yang banyak jual kasut (saiz kedai sama dengan kedai lain) dan berjenama ( apa lagi…BATA lah). Tapi sekarang daerah saya dah jadi Bandaraya Pelancongan. Kedai tu pun dah tak ada. Bila beli kasut kat kedai tu, kotak kasut dan kasut masuk dalam beg plastik panjang tu lah. 
Balik rumah mak akan simpan beg plastik ni elok-elok. Ye…la, bukan saya saja yang guna beg plastik panjang ni. Kakak sepupu pun guna. Mak pun guna juga. Mak pun bawa buku panjang ke sekolah. Tapi buku mak tebal sikit. Beg plastik ni dapat melindungi buku saya dan mak dari basah bila kena hujan. Maklum sajalah basikal adalah pengangkutan utama saya dan mak ke sekolah. Mak tak mampu beli kereta. Sekolah saya dekat saja dengan rumah. Sekolah mak jauh sikit. Ish! Kesian pula mak, bila ingat balik. 
Hai! Nak cerita tentang beg, tapi cerita tentang lain pula. Satu lagi sebab kenapa saya guna beg plastik panjang ni, ialah untuk melindungi bucu-bucu buku. Bukankah dalam buku tu penuh dengan ilmu? Jadi kenalah lindungi ia. 
Itulah saja cerita tentang beg untuk kali ini. 
Sampai jumpa lagi.
 
May 29

Kata-kata Semangat-1

Kata-kata positif dari orang di sekeliling kita adalah satu dorongan dan semangat untuk kita maju ke hadapan. Itulah yang mendorong saya untuk menghasilkan beg buatan sendiri. Mulanya saya buat untuk diri sendiri. Kemudian saya jadikan hadiah untuk kawan-kawan dan anak-anak saudara. Bila mereka bawa beg tu,tentu ada seorang dua yang perasan dan berminat.
Kemudian cerita-ceritalah tentang beg. Mereka kata ada yang suka. Oh! Sukanya saya…. Dulu saya tak tahu menjahit. Setakat jahit butang baju boleh lah. Jahitan saya teruk. Jahitan yang sepatutnya lurus…tapi jadi macam ular kena palu. Tapi sekarang dah bertambah baik.  Ada kawan cakap, “Wah! jahitan awak dah okay la.” Itukan kata-kata semangat juga.
Anak saudara tempah dua biji untuk kawan dia. Tak mahal pun. Sebiji Rm10 saja. Kanak-kanak sekolah rendah. Kemudian dia minta lagi sepuluh biji. Huh! Berkobar-kobar semangat nak jahit beg. Walau pun hanya sepuluh biji, bukannya seratus biji. Ianya tetap jadi satu semangat dan dorongan untuk saya meneruskan apa yang saya buat.
Sebenarnya apa pun yang kita buat atau lakukan, kecil atau besar, sikit atau banyak, kita tetap suka pada kata-kata semangat dari orang di sekeliling kita.
 
Handmade Bags by Ardisia Creative

May 24

Tip : 3 Langkah awal mula jahit beg.

1. Jenis kain
 Pilih kain yang agak tebal seperti kain kapas yang kita guna untuk langsir atau sarung kusyen.           Kain ini mudah  diukur dan dipotong.  
2.Corak kain
Pilih yang tidak bercorak dulu sebab mudah nampak bila kita tandakan ukuran. Tapi kalau hendak yang ada corak juga, cuba pilih yang bercorak sederhana. 
3. Rekabentuk beg
Beg yang paling mudah dijahit adalah ‘tote bag’. ‘Tote bag’ ini seperti beg kitar semula yang selalu orang beri percuma tu. Tidak ada zip. Kosong.
Itu saja untuk kali ini. Selamat menjahit.
 
 
 
 
 

 

 

May 21

Cerita 1: Ragam manusia dengan beg

Ramai orang suka bercerita tentang beg. Wanita, lelaki mahupun kanak-kanak. Wanita selalunya cerita tentang ‘handbag’. Lelaki? Entahlah…mungkin ada yang sudi beritahu nanti, beg bagaimana yang lelaki suka. Samada ‘Sling bag’ yang sederhana (alaa…yang kadang-kadang untuk simpan rokok dan pemetik api je) atau beg yang boleh guna masa  pergi jalan-jalan atau masa pergi melancong. 
Kanak-kanak pula? Sudah tentu beg yang comel-comel akan jadi topic perbualan. “Beg ini mak saya beli kat Langkawi. Cantik tak?” Tanya Si Comel A. ”Beg saya lagi cantik sebab mak saya yang jahitkan sendiri. Ada gambar kartun lagi.” kata Si Comel B. Dua-dua tidak mahu mengalah. Selalunya kalau cerita-cerita tentang beg bagi kanak-kanak, mestilah kanak-kanak perempuan. Yang kanak-kanak lelaki ni kurang, jarang-jarang atau kadang-kadang je. Macam teka-teki Nujum Pak Belalang tu. Itulah cara kanak-kanak bercerita tentang beg. 
Bagi wanita pula. “Hai! Cantik beg. Baru beli ke? Tak pernah nampak pun. Wow! Branded kau.” Kembang kempis hidung yang empunya beg yang dipuji tu. Seronok dan bangga menguasi diri. 
Lelaki? Mungkin ini caranya. ” Eh! Lawa beg kau. Mana kau dapat ni? Kalau aku pakai, lagi sesuai lah. Kasi aku ja lah.”
Itu lah ragam manusia, cakap-cakap dan cerita-cerita tentang beg.